Bekas menteri selesai beri keterangan tujuh jam di SPRM

PUTRAJAYA – Seorang bekas menteri yang disiasat berhubung kes rasuah dipercayai membabitkan projek papan iklan serta pemindahan tanah telah selesai memberi keterangan selepas lebih tujuh jam disoal siasat di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pada Isnin.Individu berkenaan dilihat meninggalkan pekarangan SPRM kira-kira jam 5.50 petang, selepas hadir memberi keterangan sekitar jam 10.30 pagi.Menurut sumber, siasatan turut menumpukan kepada dakwaan penerimaan rasuah melibatkan wang tunai kira-kira RM5 juta, selain sebuah kereta mewah jenis Lamborghini yang dipercayai diterima daripada sebuah syarikat pembuat papan iklan.Difahamkan, bekas menteri tersebut pernah didakwa di mahkamah berhubung beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu dan kini kembali berada dalam radar siasatan susulan maklumat baharu yang diterima oleh SPRM.Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa bekas menteri terbabit dirakam keterangan oleh SPRM kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah berjenama Lamborghini dipercayai berkait dengan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.Menurut sumber, berdasarkan maklumat awal yang diterima SPRM, wang berkenaan dipercayai diterima daripada sebuah syarikat pemaju, manakala kereta mewah itu pula didakwa disumbangkan oleh sebuah syarikat pengiklanan.