BUKIT MERTAJAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menghentikan operasi mencari dan menyelamat seorang pemancing lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti memancing di Jalan Ban Sungai Belanak, Juru, sejak Sabtu lalu.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa dikenali sebagai Ariff Aiman Ishak, 23, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing, sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis.Menurutnya, kehilangan mangsa disedari selepas ahli keluarga menemui topi keledar dan peralatan memancing milik mangsa yang masih berada di atas pelantar di lokasi terakhir dia dipercayai dilihat."Pihak bomba menerima maklumat kejadian daripada pihak polis pada jam 5.36 petang, Sabtu, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan pencarian berdasarkan maklumat awal yang diterima, dengan mangsa dikhuatiri lemas."Bagaimanapun, operasi pencarian terpaksa ditamatkan selepas tiada petunjuk baharu ditemui, susulan nasihat serta keputusan pihak polis," katanya.Menurut John Sagun, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang dan Pusat Kawalan Bencana (PKB) turut ditutup pada masa yang sama.Namun, katanya, operasi akan disambung semula sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu berkaitan kehilangan mangsa.