Empat deretan rumah terbakar, Yamaha RXZ antara musnah

IPOH - Empat keluarga terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Pari Hilir di sini pada Isnin.Kesemua mereka terdiri daripada 22 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak berlindung di PPS Dewan Komuniti Kampung Kuala Pari yang dibuka pada jam 6 petang.Kejadian sekitar jam 4 petang itu menyebabkan semua mangsa tinggal sehelai sepinggang.Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, kebakaran melibatkan empat rumah sederet jenis kelas A, namun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan."Setibanya jentera bomba di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan telah memusnahkan hampir 60 peratus daripada keseluruhan empat rumah berkenaan."Dalam kejadian itu, dua motosikal jenis Yamaha RXZ dan Yamaha 125 turut musnah terbakar," katanya dalam satu kenyataan di sini.Beliau berkata, operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.Katanya, seramai 23 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dan Batu Gajah."Bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela Menglembu turut dikerahkan melibatkan tiga anggota bersama sebuah jentera FRT bagi membantu kelancaran operasi," katanya.Operasi tamat pada jam 5.53 petang.Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee berkata, dalam tempoh sementara ini, aspek kebajikan dan keselamatan mangsa menjadi keutamaan semua pihak."Pejabat saya bersama pentadbiran mukim akan mengkoordinasi serta menyelaras penyaluran bantuan keperluan asas dan bantuan lain yang diperlukan demi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara," katanya.