Reban terbakar, 7,200 ekor ayam mati

BUKIT MERTAJAM – Kira-kira 7,200 ekor ayam mati selepas sebuah reban milik sebuah syarikat penternakan di Jalan Juru Estate di sini terbakar dalam kejadiana malam Isnin.Dalam kejadian kira-kira jam 10.39 malam itu, kebakaran melibatkan sebuah reban ayam kelas B dengan anggaran keluasan 1,486 meter persegi di Lot 1441, Jalan Juru Estate, Juru, Mukim 12.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.39 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi pada jam 11.01 malam."Setibanya di lokasi, didapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran sebelum ketibaan pasukan bomba."Bagaimanapun, kebakaran telah menyebabkan kerosakan dalaman reban termasuk ruang ternakan ayam manakala struktur luar tidak terlibat. Jumlah keseluruhan ayam adalah 9,000 ekor namun hanya 1,800 ekor (20 peratus) yang selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.05 malam dan operasi ditamatkan pada jam 11.58 malam selepas pemeriksaan lanjut dilakukan."Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini."Seramai enam anggota termasuk seorang penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera FRT dari BBP Bandar Perda," katanya.Tambah beliau, antara PBS yang terlibat membantu di lokasi ialah PBS Juru, PBS Padang Lalang, PBS Taman Merak, PBS Permatang Tinggi, PBS Cross Street, PBS Kota Permai dan PBS Taman Sukun."Komander operasi telah membuat ‘size up’ dengan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap bagi memastikan kebakaran benar-benar padam dan tiada bahaya lain."Selepas itu, lokasi kejadian diserahkan kepada pegawai penyiasat kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut," katanya.