SHAH ALAM – Tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai berjiwa besar dan sangat dihormati.Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, segala jasa dan khidmat bakti bekas Perdana Menteri itu sepanjang memimpin PN dan negara sebelum ini akan terus dikenang dan diingati oleh rakyat.Beliau berkata, kepimpinan Muhyiddin ketika negara berdepan wabak Covid-19 merupakan antara sumbangan terbesar yang tidak boleh dipadamkan daripada sejarah negara."Terima kasih, Tan Sri. Kami anggap ini satu tindakan yang berjiwa besar dan sangat dihormati."Segala jasa dan khidmat bakti Tan Sri selama memimpin PN dan Malaysia sebelum ini tetap akan dikenang dan diingati."Menyelamatkan negara daripada wabak Covid dan memulihkannya semula sehingga kita kembali hidup seperti sedia kala hari ini. Itu jasa yang amat besar kepada kita semua. Sejarah itu tidak boleh diubah," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Selasa.Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.Dalam pada itu, Afnan Hamimi menegaskan bahawa segala pandangan yang pernah diungkapkan sebelum ini tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat dan sanjungannya terhadap Muhyiddin."Segala pandangan yang pernah saya ungkapkan sebelum ini sedikit pun tidak mengurangkan rasa hormat dan sanjung saya kepada Tan Sri, lebih-lebih lagi Tan Sri sebagai Abah, orang yang lebih berusia dan berpengalaman daripada saya," ujarnya.Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat kata-kata yang menyebabkan rasa tidak senang atau tersinggung."Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama di dalam sebuah kapal," katanya lagi.Mengulas kesinambungan perjuangan, Afnan Hamimi menegaskan bahawa walaupun berlaku pertukaran kepimpinan, perjuangan perlu diteruskan demi mencapai matlamat bersama."Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai hingga sampai ke destinasi."Mewakili seluruh jentera Pemuda PN dan Pemuda Pas, kami ucapkan terima kasih, Tan Sri. Jasamu kami kenang sampai akhir hayat," katanya.