'Krisis politik Perlis berpunca daripada kegagalan dalaman Pas sendiri' - Mahfuz

ALOR SETAR – Krisis politik yang melanda negeri Perlis bukan berpunca daripada tekanan luar seperti dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebaliknya berpunca daripada kegagalan dalaman parti itu sendiri dalam mengurus konflik kepimpinan.Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mendakwa, kenyataan Abdul Hadi yang mengaitkan tekanan berkaitan projek dan jawatan sebagai punca pergolakan kerajaan negeri Perlis hanyalah satu cubaan mengalihkan perhatian daripada kelemahan sebenar parti itu.Menurutnya, kemelut di Perlis tidak bermula dengan tekanan luar, tetapi berpunca daripada rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Pas Perlis sendiri terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli."Ketidakpuasan ini telah dizahirkan secara terbuka sejak hujung 2023 dan memuncak dalam perbahasan Muktamar Pas Pusat 2024."Isyarat penolakan terhadap kepimpinan Cikgu Shukri turut terbukti apabila pasukannya tewas dalam semua pemilihan kepimpinan Pas kawasan pada tahun 2025," katanya pada Selasa.Mahfuz mendakwa kepimpinan Pas Pusat lebih cenderung mempertahankan individu tertentu berbanding menyelesaikan konflik secara matang, sehingga membuka ruang kepada krisis sokongan dan pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sendiri.Beliau turut mempersoalkan logik kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa wujud tekanan berkaitan projek dan jawatan, namun dalam masa sama membiarkan Menteri Besar meletakkan jawatan tanpa sebarang usaha mempertahankannya."Apabila konflik dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian politik yang bijaksana, ia akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Pas. Ini bukan soal kezaliman pihak luar, tetapi kegagalan pengurusan dalaman parti."Sepatutnya, menjadi tanggungjawab Presiden Pas dan kepimpinan pusat untuk mempertahankan Menteri Besar serta kerajaan negeri daripada sebarang tekanan luar dengan memperkukuh kerjasama dalaman parti dan menutup ruang manipulasi politik," ujarnya.Tambah beliau, kenyataan yang kabur tanpa disertakan bukti hanya akan mengundang spekulasi dan mengelirukan rakyat.Menurutnya, sebarang dakwaan berkaitan tekanan atau salah laku seharusnya disalurkan melalui saluran undang-undang, bukan dijadikan naratif politik untuk menutup kelemahan sendiri."Pas tidak boleh terus menyalahkan faktor luar bagi menutup hakikat bahawa krisis di Perlis adalah hasil daripada konflik dalaman yang gagal ditangani secara berhemah oleh kepimpinan tertinggi parti."Rakyat Perlis berhak mendapat penjelasan yang jujur dan kepimpinan yang bertanggungjawab, bukan alasan yang berubah-ubah demi menyelamatkan imej politik pihak tertentu," katanya lagi.Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan tiga kerusi DUN berlaku kekosongan luar jangka selepas Pas menghentikan keahlian tiga ADUN berikutan tindakan mereka menyatakan hilang sokongan terhadap Mohd Shukri.Tiga ADUN tersebut ialah ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.Rus’sele dilaporkan sebagai berkata, walaupun usia DUN Perlis telah genap tiga tahun pada 18 Disember lepas, kerajaan negeri merasakan terdapat keperluan untuk mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan di ketiga-tiga kerusi itu bagi kepentingan kestabilan kerajaan.Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional memenangi 14 kerusi (Pas 9, Bersatu 5) sementara PH (PKR 1).Kedudukan terkini DUN Perlis tinggal 12 kerusi setelah tiga kerusi Pas dihentikan keahlian di mana Pas (6), Bersatu (5) dan PKR (1).