Bekas pengurus besar AKSB sujud syukur, bebas tuduhan rasuah RM10,000

KOTA BHARU – Bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sujud syukur di kandang pesalah sebaik sahaja dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah berjumlah RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas Wan Mohd Zamri W Ismail, 64 tahun, dalam pembelaannya berjaya mematahkan anggapan berlakunya rasuah dan mahkamah menerima keterangan bahawa wang tersebut merupakan bantuan banjir.Dalam penghakimannya, Dazuki berkata, pihak pendakwaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan."Penjelasan jujur tertuduh diterima bahawa wang RM10,000 adalah untuk sumbangan banjir dan digunakan bagi membantu mangsa banjir besar pada akhir Disember 2014."Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan serta wang jaminan dikembalikan," katanya.Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang berjumlah RM10,000 daripada Ng Tze Wei melalui sekeping cek United Overseas Bank (Malaysia) Bhd bertarikh 21 Januari 2015, yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad milik tertuduh di Maybank Jalan Mahmood, di sini, pada 22 Januari 2015.Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat yang dilantik sebagai subkontraktor bagi menjalankan kerja-kerja mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji lari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal dan elektrik serta kerja-kerja berkaitan reka dan bina untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej Machang, Kelantan.Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694], dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.