SHAH ALAM – Sebarang keputusan yang dibuat atas nama Perikatan Nasional (PN) perlu dirujuk dan diputuskan melalui Majlis Tertinggi gabungan selaras dengan peruntukan Fasal 13 Perlembagaan PN.Dalam kenyataan bersama, Ketua-ketua Pemuda parti komponen menegaskan, tiada mana-mana parti mempunyai hak mutlak untuk membuat keputusan secara unilateral, termasuk berkaitan perkembangan semasa kepimpinan gabungan itu."Pemuda PN turut menggesa semua kepimpinan di setiap peringkat agar mengamalkan politik hikmah, bijaksana serta memelihara adab dan etika dalam gabungan bagi merealisasikan agenda lebih besar demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Malaysia," menurut kenyataan itu pada Selasa.Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Hilman Idham; Ketua Pemuda Nasional Gerakan, Lee Boon Shian dan Ketua Pemuda Kebangsaan MIPP, Justin Prabakaran.Sebelum ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu, berkuat kuasa 1 Januari ini.Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepada beliau sepanjang memimpin gabungan terbabit.Terdahulu wujud beberapa desakan daripada Pas termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mahu jawatan Pengerusi PN diberi kepada Pas.Kemelut hubungan antara Pas dan Bersatu semakin ketara selepas berlaku pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari Pas, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.Rentetan itu, ADUN Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik menggangikan Mohd Shukri sebagai Menteri Besar yang baharu.