SEREMBAN – Polis menahan sembilan individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Lukut, Port Dickson yang mengakibatkan empat mangsa cedera, termasuk seorang kanak-kanak, pada 27 Disember lalu.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan di sekitar daerah Port Dickson.Menurutnya, dua suspek pertama ditahan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian, diikuti penahanan seorang lagi suspek berhampiran lokasi kejadian pada keesokan harinya."Hari berikutnya, seramai enam suspek utama telah ditahan, manakala seorang lagi suspek masih diburu bagi membantu siasatan."Sebahagian daripada suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Tindak Balas Bencana Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, pada Selasa.Mengulas mengenai keadaan mangsa, Alzafny memaklumkan bahawa empat individu mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut, termasuk seorang lelaki yang dilaporkan cedera parah akibat diserang dan kini menerima rawatan rapi."Seorang kanak-kanak yang turut cedera sedang dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil."Kanak-kanak itu merupakan anak kepada salah seorang mangsa," katanya.Menurut beliau, kesemua mangsa bukan daripada satu keluarga namun saling mengenali dan berada berhampiran lokasi kejadian untuk makan.Bagaimanapun, katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326/427 Kanun Keseksaan.Sebelum ini, tular satu video memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang bergaduh di kawasan deretan kedai di Lukut.Turut tular ialah gambar seorang lelaki berlumuran darah dipercayai akibat ditetak dengan parang.Selain itu, beliau turut memaklumkan satu lagi kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki dan seorang wanita berlaku berhampiran sebuah pasar raya di Nilai pada 28 Disember lalu."Kejadian itu berlaku sekitar jam 1 pagi dan kesemua individu berusia dalam lingkungan 20-an yang terlibat telah ditahan dalam tempoh 24 jam."Siasatan awal mendapati kejadian pergaduhan berpunca apabila sepasang kekasih yang berada di lokasi telah diganggu oleh beberapa suspek yang berada dalam keadaan mabuk," katanya.Tambahnya, pergaduhan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan penggunaan senjata tajam, sebaliknya hanya menggunakan kerusi.Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.