PONTIAN - Seorang pemandu lori ais ditahan selepas dipercayai menjadi dalang di sebalik 16 kes pecah masuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (Peladang) di enam daerah sejak Jun lalu.Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah kilang ais di Taman Universiti, Skudai pada Ahad lalu hasil risikan dan makluman awam.Jelasnya, suspek menyasarkan pejabat berkenaan kerana terdapat peti simpanan wang yang boleh dipecahkan."Modus operandi suspek dengan melakukan kegiatan pecah pejabat secara bersendirian pada waktu malam dengan mengeluarkan fius elektrik bagi memutuskan aliran arus elektrik di pejabat yang dipecah masuk."Enam daerah terbabit ialah Pontian, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri."Suspek dipercayai terlibat dalam 13 kes pecah pejabat NADI dan dua kes pejabat Peladang manakala satu kes pecah rumah."Enam pejabat NADI di daerah ini yang dipecah masuk membabitkan Benut, Permas, Kayu Ara Pasong, Ayer Baloi dan dua di bandar Pontian," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada Selasa.Dalam pada itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk motosikal, peti besi, peralatan memotong besi, telefon bimbit pelbagai jenama dan barangan kemas dengan nilai rampasan dianggarkan RM24,000."Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau, namun negatif saringan air kencing."Suspek kini direman selama enam hari sehingga 2 Januari depan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dengan niat mencuri," katanya.