Lelaki didakwa ugut guru, simpan gambar lucah

MELAKA - Tindakan seorang lelaki membuat ugutan jenayah terhadap teman wanitanya yang merupakan seorang guru membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.Tertuduh, Mohd Fazrul Azlan Khairuddin, 38, turut berdepan pertuduhan memiliki beberapa keping gambar lucah.Bagaimanapun tertuduh yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani selepas kertas pertuduhan dibacakan.Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada mangsa berusia 36 tahun dengan mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah.Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 November 2025, sekitar jam 10 malam di sebuah rumah di Bertam dalam daerah Melaka Tengah.Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa pada tarikh, masa dan lokasi yang sama telah memiliki dalam simpanannya beberapa keping gambar lucah, satu kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon ikat jamin rendah dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai pekerja kontrak.Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Januari tahun depan.