PONTIAN – Pembahagian kerusi bagi empat pilihan raya yang akan datang perlu difikirkan secara teliti oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana setiap keputusan yang diambil bakal memberi kesan besar kepada parti, susulan pergolakan politik semasa.Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, empat pilihan raya tersebut ialah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Sarawak, PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung bulan depan merupakan platform penting untuk berbincang serta mendengar pandangan ahli parti."Suasana politik negara sekarang sangat tidak menentu, bergelora dengan isu dua keputusan negatif terhadap Datuk Seri Najib Razak dan perubahan Menteri Besar di Perlis, selain pelbagai pandangan mengenai senario hubungan parti yang dibincangkan di media sosial."Dalam UMNO, pendirian penting mesti dihadam, dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat MKT serta Perhimpunan Agung UMNO."Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sangat terbuka untuk mendengar semua pandangan setiap kali Mesyuarat MKT dan Mesyuarat Biro Politik diadakan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 17 Januari depan.Sementara itu, pada 24 Januari akan berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan.Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan, dalam tempoh beberapa hari akan datang, parti perlu menimbang baik buruk setiap tindakan, khususnya yang melibatkan kerajaan negeri seperti Pahang, Perak dan Negeri Sembilan, selain mengambil kira syarat-syarat kestabilan serta masa depan Kerajaan Persekutuan.Beliau menambah, pembahagian kerusi perlu dianalisis secara sistematik untuk setiap siri pilihan raya kerana setiap keputusan akan memberi kesan langsung kepada hala tuju parti."Pembahagian kerusi perlu difikirkan untuk empat siri pilihan raya yang berlaku satu demi satu iaitu PRN Melaka, PRN Sarawak, PRN Johor dan PRU16. Setiap keputusan besar yang diambil akan menentukan di mana untung rugi UMNO/BN dalam pelbagai senario dinamika politik semasa."Sikap pengundi muda, pengundi Melayu, Cina, India dan Bumiputera perlu dikaji secara analitik, kualitatif, kuantitatif dan melalui kajian rawak di lapangan, bukan sekadar membuat anggapan atau mencatat secara sambil lewa."Penelitian terhadap perkara-perkara besar seperti ini wajar dilakukan dengan fikiran yang tenang serta kebijaksanaan yang tinggi," jelas beliau.