Kes letupan IED: ‘Ayang’ stabil tapi masih lemah, siasatan diteruskan

SEREMBAN - Suspek lelaki dikenali sebagai 'Ayang' yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian letupan di kawasan Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu masih berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki berusia 62 tahun itu yang kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagaimanapun berada dalam keadaan stabil."Seperti dalam laporan media yang saya buat sebelum ini, suspek ketika ditahan sememangnya berada dalam keadaan tidak bermaya dan telah menerima rawatan di zon merah HTJ."Saya difahamkan dia kini telah dipindahkan ke wad dan keadaannya stabil, namun tidak bermaya kerana kecederaannya dikategorikan sebagai serius," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Pasukan Tindak Balas Bencana Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini pada Selasa.Menurutnya, pasukan penyiasat sentiasa berada di hospital bagi mendapatkan keterangan daripada suspek dengan melihat kepada kesesuaian keadaannya.Tambah beliau, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk sama ada suspek bertindak secara bersendirian atau mempunyai kaitan dengan individu lain."Bagaimanapun, setakat ini berdasarkan penemuan di lokasi kejadian, rakaman percakapan saksi serta fakta bahawa suspek ditemui bersembunyi di kawasan terpencil jauh dari orang awam, kita masih berpegang yang suspek bergerak secara bersendirian."Namun, siasatan masih lagi berjalan dan semua kemungkinan lain tidak diketepikan motif kejadian juga masih dalam siasatan," katanya.Sebelum ini media melaporkan suspek ditahan di Batang Benar, Nilai pada 4.15 petang, Sabtu lalu dengan kesan melecur pada muka, badan, tangan serta kaki dan direman selama seminggu hingga 3 Januari depan.Suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan.Dalam kes terbabit, dia dipercayai bergerak secara sendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas atau gengsterisme.Sementara itu berkenaan Pasukan Tindak Balas Bencana yang ditubuhkan, beliau berkata, sebagai permulaan, pasukan itu terdiri daripada empat anggota dan seorang pegawai dari IPK Negeri Sembilan.Jelasnya, walaupun terdapat agensi utama yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja menyelamat, pihak polis juga perlu bertindak cepat apabila berlakunya sesuatu bencana."Ini masih di peringkat permulaan dan kita akan melihat kepada keperluan kejadian bencana yang berlaku untuk menambah jumlah keanggotaan."Anggota pasukan ini dipilih secara khas dan mereka ini telah menerima latihan asas menyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),"katanya.