Mujahid, Takiyuddin capai persetujuan tamat saman fitnah

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mencapai persetujuan untuk menamatkan pertikaian saman fitnah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tiga tahun lalu.Menerusi satu kenyataan bersama pada Selasa, Mujahid memaklumkan, saman fitnah berkenaan difailkan terhadap Takiyuddin berhubung satu hantaran Facebook yang dimuat naik di akaun Facebook Pas Pusat pada 16 Oktober 2022.Bagaimanapun, setelah mempertimbangkan semula kesan tindakan saman fitnah tersebut serta kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua pihak, mereka bersetuju untuk menghentikan prosiding secara muktamad demi kepentingan yang lebih besar."Pihak-pihak bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih penting dan perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara," menurut kenyataan itu.Sehubungan itu, Takiyuddin tanpa sebarang pengakuan liabiliti, telah memohon maaf secara terbuka kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berhubung hantaran berkenaan.Menghargai tindakan tersebut, Mujahid bersetuju untuk menarik balik saman guaman sivil tersebut tanpa kebebasan untuk memfailkan semula serta tanpa sebarang perintah berkaitan kos.Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pegawai-pegawai mahkamah serta peguam yang terlibat atas profesionalisme dan budi bicara dalam mengendalikan kes tersebut.Dalam pada itu, mereka berharap agar penyelesaian berkenaan diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara.