PUTRAJAYA – Nombor pendaftaran kenderaan yang diubah suai secara ekstrem dan mengelirukan menyukarkan pihak berkuasa menjejak penjenayah.Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perbuatan mempamerkan nombor pendaftaran yang mengelirukan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menyukarkan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)."Kesukaran akan timbul apabila kenderaan digunakan untuk tujuan jenayah atau melanggar peraturan jalan raya."Banyak kejadian ragut dan pecah rumah gagal diselesaikan kerana kesukaran mengesan pelaku yang menggunakan nombor pendaftaran mengelirukan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas JPJ melalui Bahagian Penguat Kuasa jabatan itu."Langkah Mahkamah Majistret Kajang mendakwa pesalah trafik yang mengubah suai dan mempamerkan nombor pendaftaran mengelirukan juga merupakan tindakan yang wajar."Tindakan menyaman dan mendakwa pesalah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, dengan denda minimum RM5,000 hingga maksimum RM10,000 adalah tepat dan perlu," ujarnya.Menurut beliau, langkah tegas dan berterusan oleh JPJ penting untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman masyarakat."Ia juga merupakan pengajaran kepada pemandu agar lebih bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang," katanya.Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa JPJ telah mengambil tindakan tegas ke atas kesalahan penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan mengelirukan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya bukan sahaja telah mengambil tindakan berkenaan malah turut mendapatkan pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).Beliau menjelaskan bahawa pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran ekstrem dan mengelirukan akan disaman di bawah seksyen yang sama.Kesalahan tersebut dibawa ke mahkamah dan pesalah boleh dikenakan hukuman minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000.Menurutnya, sejak kebelakangan ini, semakin banyak motosikal dan kereta didapati menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ yang menyukarkan pengecaman oleh agensi penguat kuasa lain.