PORT DICKSON – Seorang peniaga produk daging salai Muslim di daerah ini terkejut apabila mendapati premis perniagaannya disenaraikan sebagai penjual daging babi menerusi sebuah laman web direktori perniagaan.Pemiliknya, Azimah Abdul Malik, 50, berkata, perkara itu disedari selepas dimaklumkan oleh seorang pelanggan pada Ahad lalu."Pelanggan itu buat carian di internet untuk mendapatkan maklumat waktu operasi kedai saya, tapi dia terkejut bila ada satu laman web nyatakan kedai saya merupakan kedai daging khinzir terbaik di Malaysia."Saya kemudian buat semakan di laman web tersebut dan kedua-dua kedai saya iaitu Kak Ngah Anjung Salai dan Dapur Kak Ngah di Port Dickson serta cawangan ejen Kak Ngah di Putrajaya pun ada dalam laman web berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.Malah ujarnya, laman web tersebut turut menyenaraikan beberapa syarikat atau kedai milik orang Islam lain yang menjual produk sejuk beku halal termasuk beberapa jenama besar.Azimah berkata, dia telah pun membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berhubung perkara berkenaan supaya tindakan lanjut dapat diambil."Tak tahu apa motif pemilik laman web itu yang terang-terangan laman web direktori jual daging babi, tapi menyenaraikan syarikat milik Muslim di situ yang nyata boleh menjejaskan imej produk orang Islam dan menimbulkan kekeliruan."Saya dah berniaga hampir tujuh tahun dan kejadian seumpama ini pertama kali berlaku, ia sangat mengecewakan kerana gambar kedai saya turut disertakan," katanya.Selain itu, kata Azimah, hasil cariannya mendapati, laman web berkenaan baru didaftarkan pada Julai lalu.Tambahnya, dia juga membuat hantaran di Facebook peribadinya supaya orang ramai terutama pelanggan tidak terpedaya sekali gus lebih banyak laporan dibuat terhadap laman web terbabit."Saya harap peniaga Muslim lain yang terkesan tampil bersuara. Ini bukan isu kecil kerana ia melibatkan sensitiviti agama dan kepercayaan pengguna," katanya. .