Sambutan Tahun Baharu: 226 anggota trafik kawal lalu lintas sekitar ibu negara

KUALA LUMPUR – Seramai 226 anggota trafik akan ditugaskan khusus bagi mengawal aliran lalu lintas di sekitar kawasan tumpuan ibu negara sempena sambutan malam Tahun Baharu.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan kelancaran pergerakan serta keselamatan orang awam sepanjang acara berlangsung."Penugasan ini adalah antara persiapan utama yang dirangka bagi mengawal situasi lalu lintas di lokasi-lokasi tumpuan sekitar Kuala Lumpur."Keseluruhan kekuatan operasi melibatkan hampir 300 anggota termasuk pasukan sokongan, dengan fokus utama memastikan suasana sambutan kekal selamat, terkawal dan lancar," katanya pada Selasa.Beliau menegaskan bahawa pihaknya memberi keutamaan kepada aspek keselamatan pengguna jalan raya serta ketenteraman awam."Tumpuan penguatkuasaan akan diberikan terhadap pencegahan aktiviti samseng jalanan, pemanduan berbahaya dan pelanggaran undang-undang lalu lintas yang boleh mengancam keselamatan orang ramai."Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan berbahaya di jalan raya," tegasnya.Mohd Zamzuri turut mengingatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan anggota yang bertugas serta mengamalkan sikap bertolak ansur bagi mengelakkan kesesakan dan sebarang insiden tidak diingini."Selain itu, pengguna jalan raya digalakkan menyelesaikan saman tertunggak dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna lain," ujarnya.