Ancaman iklim kakis jeti negara

PERUBAHAN iklim bukan lagi isu masa hadapan. Kesan peningkatan suhu, kelembapan tinggi dan kenaikan paras air laut kini semakin dirasai, khususnya terhadap infrastruktur pesisir negara. Antara struktur yang paling terdedah ialah jeti iaitu nadi perhubungan komuniti pantai, tulang belakang industri perikanan serta pintu masuk pelancongan pulau.Menyedari keperluan mendesak ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bersama Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), Jabatan Kerja Raya (JKR) memeterai satu Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan projek penyelidikan bertajuk 'Assessing Jetty Resilience in Malaysia: Evaluating Climate Change Impacts on the Performance of Jetty'. Kerjasama strategik ini menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh ketahanan infrastruktur marin negara berdepan cabaran iklim yang semakin kompleks.Di Malaysia, zon pesisir bukan sekadar kawasan geografi, tetapi ruang sosioekonomi yang kritikal. Sebahagian besar populasi, aktiviti ekonomi, rantaian bekalan makanan laut dan sektor pelancongan bergantung kepada kecekapan serta keselamatan struktur jeti. Namun, pendedahan berterusan kepada persekitaran marin yang agresif mempercepatkan proses kakisan pada konkrit bertetulang dan keluli, sekali gus mengancam jangka hayat serta integriti struktur.Projek penyelidikan selama dua tahun ini diterajui oleh pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Shah Alam dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia. Tumpuan kajian merangkumi penilaian tahap kerosakan kakisan menggunakan kaedah ujian tanpa musnah (Non-Destructive Testing, NDT), pembangunan salutan nano-berstruktur berasaskan grafena bagi meningkatkan lekatan dan rintangan kakisan serta penambahbaikan garis panduan pembaikan dan penyelenggaraan jeti yang lebih bersesuaian dengan keadaan pantai tropika Malaysia.Menurut Pengarah Kanan CREaTE JKR, Ir Dr Sherliza Zaini Sooria, CREaTE memberi penekanan kepada penghasilan inovasi dan pembangunan produk yang praktikal serta boleh terus dimanfaatkan oleh jabatan-jabatan dalam JKR, sektor pembinaan dan negara secara keseluruhan. Inisiatif ini bukan sahaja berpotensi menghasilkan solusi yang boleh diguna pakai dan dikomersialkan, malah memperkukuh pemindahan pengetahuan serta pembangunan kapasiti teknikal tempatan.Dari perspektif pengurusan aset, dapatan kajian ini dijangka menjadi rujukan penting kepada Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP) JKR dan jabatan berkaitan dalam merangka strategi pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan jeti yang lebih berasaskan data serta bersifat pencegahan. Dalam jangka panjang, pendekatan ini mampu mengurangkan risiko kegagalan struktur, meningkatkan keselamatan pengguna dan mengoptimumkan kos penyelenggaraan kerajaan.Lebih daripada sebuah projek penyelidikan, kerjasama UiTM–CREaTE JKR ini mencerminkan komitmen bersama dunia akademik dan agensi teknikal negara dalam mendepani realiti perubahan iklim. Ia memperlihatkan bagaimana sains, teknologi dan inovasi dapat digembleng untuk melindungi infrastruktur kritikal demi kesejahteraan komuniti pesisir dan kelestarian pembangunan negara.* Profesor Madya Ir Dr Sheila Belayutham ialah Ketua Akreditasi Program (Sains dan Teknologi), Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA)