DALAM era kecerdasan buatan (AI) dan perubahan landskap pekerjaan yang pantas, persoalan tentang kualiti graduan semakin mendesak. Majikan hari ini tidak lagi sekadar mencari pemegang ijazah, tetapi graduan yang mampu berfikir kritis, menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan bertindak beretika dalam persekitaran kerja yang kompleks. Dalam konteks ini, kurikulum yang dibangunkan di institusi pengajian tinggi merupakan penentu utama kualiti graduan, jauh melangkaui sijil akreditasi atau kedudukan universiti dalam ranking.Reka bentuk kurikulum sering disalah anggap sebagai kerja teknikal menyusun subjek dan jam kredit. Hakikatnya, kurikulum ialah janji institusi pendidikan tinggi kepada pelajar, industri dan masyarakat tentang keupayaan graduan yang ingin dilahirkan serta bagaimana keupayaan itu dibina, dinilai dan ditambah baik secara berterusan.Kebolehkerjaan (Employbility) graduanData kebolehkerjaan graduan Malaysia menunjukkan trend yang memberangsangkan. Statistik rasmi menunjukkan bahawa lebih 92 peratus graduan warganegara Malaysia berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas tamat pengajian pada 2024 dengan kadar kebolehkerjaan graduan ijazah pertama melebihi 93 peratus. Pada masa sama, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kadar pengangguran graduan sekitar 3.2 peratus, mencerminkan pemulihan dan peluang kerja yang semakin stabil.Kurikulum sebagai strategi kebolehkerjaanCabaran sebenar yang melanda pada hari ini apabila hampir separuh graduan bekerja dalam pekerjaan bukan standard atau kontrak, menandakan wujudnya ketidakpadanan antara kelayakan akademik dan keperluan pasaran kerja bernilai tinggi. Keadaan ini menuntut perubahan cara universiti melihat kurikulum. Kurikulum tidak boleh lagi terhad kepada penyampaian kandungan teori, sebaliknya perlu dibina berasaskan keperluan industri semasa dan masa hadapan, termasuk literasi digital, kefahaman AI, keupayaan analitik dan kemahiran insaniah yang tidak mudah digantikan oleh mesin.Di Malaysia, hala tuju ini dipandu oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melalui dokumen seperti Code of Practice for Programme Accreditation (COPPA) dan Malaysian Qualifications Framework (MQF). COPPA menegaskan keperluan 'needs assessment' dalam pembentukan dan semakan kurikulum, termasuk penglibatan industri dan pemegang taruh bagi memastikan program yang ditawarkan tidak bersifat ‘syok sendiri’, tetapi benar-benar responsif terhadap realiti pasaran kerja.AI mengubah makna kebolehkerjaanKehadiran AI mengubah definisi kebolehkerjaan. Banyak tugasan rutin kini boleh dilaksanakan oleh teknologi, menyebabkan kemahiran teknikal asas sahaja tidak lagi mencukupi. Industri kini memerlukan graduan yang mampu mentafsir data, membuat keputusan beretika, berkomunikasi secara strategik dan menyelesaikan masalah kompleks.Dalam konteks ini, prinsip 'constructive alignment' yang ditekankan dalam COPPA menjadi semakin kritikal. Hasil pembelajaran, aktiviti pengajaran dan kaedah pentaksiran perlu diselaraskan supaya pelajar benar-benar dibentuk untuk berfikir, menganalisis dan mencipta, bukan sekadar mengulangi maklumat yang kini mudah dijana oleh AI.Kualiti sebagai tanggungjawab institusiDari sudut audit institusi pula, 'Code of Practice for Institutional Audit' (COPIA) memperluaskan pemahaman kualiti sebagai tanggungjawab menyeluruh universiti. Penilaian terhadap reka bentuk dan penyampaian kurikulum, pentaksiran pelajar dan penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) menuntut universiti membuktikan bahawa kurikulum sentiasa dikemas kini berdasarkan data kebolehkerjaan, maklum balas industri dan prestasi graduan.Ini menunjukkan bahawa kebolehkerjaan graduan bukan isu akademik semata-mata, tetapi melibatkan tadbir urus, pengurusan sumber dan kepimpinan institusi yang berwawasan.Kesimpulannya, cabaran sebenar institusi pendidikan tinggi bukan sekadar memenuhi keperluan akreditasi, tetapi membudayakan pematuhan kualiti yang bermakna dan berimpak. Selaras semangat COPPA dan COPIA, universiti perlu menjadikan data pencapaian Programme Learning Outcome (PLO), Course Learning Outcome (CLO) dan maklum balas industri sebagai asas membuat keputusan akademik serta melaksanakan CQI sebagai rutin berterusan.Apabila kurikulum benar-benar dijadikan penentu kualiti, universiti bukan sahaja melahirkan graduan yang boleh bekerja, tetapi graduan yang relevan, bernilai dan sukar digantikan, walaupun dalam dunia yang semakin dikuasai oleh AI.*Profesor Madya Dr Wan Hartini Wan Zainodin ialah Ketua Komunikasi dan Pengembangan Ilmu, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam