JOHOR BAHRU – Peletakan jawatan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor tidak menjejaskan kestabilan parti di peringkat negeri.Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Zulkifli Bujang berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan di negeri ini masih kekal bersama dalam gabungan tersebut."Jentera tiga parti utama ini kekal bersatu padu, aktif mendampingi rakyat, dan bersedia memperkukuhkan kedudukan PN sebagai alternatif politik yang kuat dan prihatin."Dengan kerjasama semua pihak, PN Johor diyakini akan bangkit lebih mantap demi kepentingan rakyat negeri ini pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, PN memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Endau (Alwiyah Talib – Bersatu), Bukit Kepong (Datuk Dr Sahruddin Jamal – Bersatu) dan Maharani (Abdul Aziz Talib – Pas).Sementara itu, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bersatu memenangi dua kerusi Parlimen di Johor, iaitu Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Mersing (Islahuddin Abas).Menjawab dakwaan kononnya PN Johor kini berada dalam keadaan rapuh susulan peletakan jawatan pengerusinya, Zulkifli menafikan perkara tersebut."Tidak sama sekali. Seperti yang disebut oleh Dr Sahruddin, perjalanan PN Johor berjalan dengan baik dan peletakan jawatan tersebut tiada kena-mengena dengan keadaan semasa PN di Johor," ujarnya.Dalam pada itu, Zulkifli menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan PN pusat untuk menentukan pengganti baharu."Seperti yang dinyatakan oleh Dr Sahruddin, pelantikan pengganti perlu dilakukan secepat mungkin."Sebarang perkembangan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi PN," katanya lagi.Terdahulu, Dr Sahruddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor menerusi hantaran di laman Facebook miliknya pada pagi Selasa.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.