PRK Kinabatangan: Miha diumum calon BN DUN Lamag

KOTA KINABALU - Bekas calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, BN Sabah memilih pendekatan calon perpaduan dalam menentukan calon bagi PRK DUN Lamag."Pendekatan ini selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri."Berteraskan pertimbangan tersebut, BN Sabah akan mencalonkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) BN," katanya semasa berucap pada majlis bersama media di Bangunan UMNO Sabah di sini pada Selasa.Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pencalonan itu adalah strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama yang lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.Jafry turut mengakui langkah tersebut juga merupakan usaha untuk meredakan suhu politik di negeri ini."Sebab kita baru selesai politik, terlampau sengit, menimbulkan banyak permusuhan dan sebagainya. Bagi saya, kita ambil jalan tengah untuk memastikan dan mungkin rakyat dapat lihat, dapat kita bantu."Mesejnya adalah untuk memastikan DUN Lamag tidak terpinggir daripada arus pembangunan. Malah pemilihan mereka sebagai calon muda, seperti yang dimaklumi pada PRN17 lalu, pengundi muda adalah segmen yang amat besar."Jadi berdasarkan itu, kita juga ingin menyediakan pelapis untuk menghadapi masa depan," katanya.Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan calon berkenaan menandakan autonomi UMNO Sabah terus dilaksanakan."Itulah keputusannya (pemilihan calon). Saya tak boleh buat keputusan. Yang sebetulnya telah berbincang dengan dia, kita beri pandangan dan dia terima, rasional keputusan tersebut," katanya.Sebelum ini, BN turut mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai calon bagi Parlimen Kinabatangan.Mohd Naim, 31, merupakan anak kepada penyandang kedua-dua kerusi tersebut, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.PRK diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi tersebut dan ditetapkan pada 24 Januari 2026.