SERDANG – Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes seorang anggota pasukan keselamatan yang didakwa memukul seorang pemuda di Banting pada bulan lalu kepada Pejabat Peguam Negara.Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kertas siasatan berkenaan telah dirujuk kepada Bukit Aman dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu lalu."Kita masih menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berhubung kertas siasatan tersebut."Saya memberi jaminan bahawa siasatan terhadap kes ini dijalankan secara telus," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Selasa.Pada 23 Disember lalu, media melaporkan bahawa polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki warga tempatan dipukul oleh individu dipercayai anggota polis, di sebuah rumah di Kampung Sungai Ingat, Banting.Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang mendakwa menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit, memaparkan anaknya ditampar oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai polis.Menurut laporan itu, anak pengadu ditampar beberapa kali kononnya bagi tujuan mencari barang bukti, dan bapa pengadu juga memaklumkan menyaksikan kejadian tersebut.Pelupusan Barang Kes Bernilai RM3.5 JutaDalam perkembangan berasingan, Muhamad Farid memaklumkan bahawa sebanyak 283,872 kotak rokok, 53,691 tin dan botol minuman keras, 178 unit barang kes perjudian, 353 unit mesin bitcoin, dan pelbagai barangan kes lain bernilai RM3.5 juta telah dilupuskan pada majlis berkenaan.Katanya, pelupusan itu melibatkan 673 kertas siasatan dari tahun 2010 hingga tahun ini.