KANGAR – Semua pihak diseru agar menghentikan budaya tohmahan dan sengketa politik yang dilihat semakin membarah, sebaliknya kembali kepada agenda penyatuan ummah demi kestabilan negara.Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Datuk Hashim Jasin berkata, suasana politik tanah air ketika ini dilihat semakin panas dengan pelbagai polemik yang disertai amalan tuduh-menuduh, serangan peribadi serta lemparan tohmahan tanpa asas kukuh.Menurutnya, apa yang berlaku secara tidak langsung menjauhkan masyarakat daripada adab sopan dan akhlak Islamiah."Pas menyeru seluruh kepimpinan politik dan rakyat jelata supaya kembali kepada agenda penyatuan ummah dengan mencari titik persamaan demi kestabilan negara," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.Jelasnya, Islam menuntut umatnya agar sentiasa bersangka baik dan menyiasat setiap berita sebelum disebarkan, selain melarang perbuatan saling mencela serta memanggil dengan gelaran yang buruk sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran.Beliau menggesa agar segala naratif berbentuk fitnah dan serangan yang boleh memecahbelahkan masyarakat dihentikan serta-merta."Budaya tuduh-menuduh tanpa asas yang jelas tidak membawa sebarang keuntungan kepada agama, bangsa mahupun negara. Sebaliknya, ia hanya melebarkan jurang perpecahan, menyemai kebencian dan akhirnya merugikan rakyat," ujarnya.Beliau menegaskan, tenaga dan masa seharusnya difokuskan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi serta kedaulatan negara, bukannya dihabiskan untuk pertelingkahan politik yang berpanjangan.Dalam pada itu, Hashim turut menggesa, semua pihak agar mengamalkan politik matang dan sejahtera dengan berlapang dada dan membuang ego dalam menangani perbezaan pandangan."Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi punca permusuhan sehingga memutuskan silaturahim," katanya lagi.Kepada ahli, penyokong Pas khususnya dan umat Islam amnya, beliau turut menyeru agar menjadi contoh teladan dalam mempamerkan kematangan berpolitik dengan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja dakwah serta kebajikan, selain menjauhi provokasi yang tidak berkesudahan.