KOTA BHARU – Isu berkaitan peneraju Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN tidak wajar dijadikan bahan tawar-menawar di media sosial, kata Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor.Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN Kelantan menegaskan bahawa perkara membabitkan jawatan tertinggi dalam gabungan seperti PN sepatutnya dibincangkan secara rasmi menerusi mesyuarat pimpinan pusat."Jawatan pengerusi merupakan jawatan yang besar dan akan memberi kesan kepada hala tuju gabungan, jadi ia perlu dibincangkan dalam mesyuarat rasmi, bukan melalui tawar-menawar di media sosial."Perkara sebegini wajar diputuskan oleh pucuk pimpinan PN. Jika ‘jual beli’ berlaku melalui media sosial, ia tidak begitu elok," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Selasa.Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan media yang dimuat naik di Facebook menyatakan kesediaan Pas untuk menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin yang berkuat kuasa 1 Januari ini.Sebelum itu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN pada Selasa selepas lima tahun menerajui gabungan tersebut.Menurut Kamarudin, kepimpinan PN Kelantan juga terkejut dengan keputusan itu, namun memahami situasi politik semasa yang sedang berlaku di peringkat nasional.Beliau turut menyifatkan keputusan Muhyiddin untuk meletak jawatan sebagai sesuatu yang berlaku agak cepat, walaupun beliau sudah menjangkakan perkara itu berdasarkan beberapa isu dalaman PN sebelum ini."Kami di peringkat negeri hanya mengetahui berita peletakan jawatan beliau melalui laporan media dan portal dalam talian."Saya menghormati Tan Sri, beliau sudah lama menyumbang jasa besar kepada politik negara," katanya.Dalam pada itu, Kamarudin menjelaskan bahawa hubungan antara Bersatu dan Pas di Kelantan kekal baik."Hubungan kami tidak berubah, sama ada sebelum, semasa atau selepas isu ini timbul," katanya.