JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulai, Sor Wat Kit mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan disandangnya dalam parti itu, sekali gus keluar daripada DAP selepas sembilan tahun aktif sebagai ahli.Bekas Pengarah Biro Hal Ehwal Mahasiswa DAPSY Johor dan Setiausaha DAP Cawangan Taman Sutera itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas tidak lagi dapat bersetuju dengan beberapa pendekatan dan keputusan diambil kepimpinan Pusat serta sayap DAPSY Johor."Saya memahami realiti politik bahawa dalam struktur dan susunan sedia ada, ruang untuk membawa perubahan secara bermakna adalah amat terhad, selari dengan hakikat bahawa politik sering ditentukan oleh kekuatan serta penguasaan."Oleh itu, keputusan saya untuk keluar daripada parti ini bukanlah semata-mata berpunca daripada kekecewaan terhadap individu atau kepimpinan tertentu."Sebaliknya lebih didorong keinginan saya untuk memperluaskan pengalaman dan pendedahan politik selagi usia masih muda dengan meneroka platform yang berbeza," katanya.Beliau berkata demikian dalam surat peletakan jawatannya kepada Setiausaha Organisasi DAP, Khoo Poay Tiong yang bertarikh 28 Disember lalu.Jelas Wat Kit, keputusan itu juga dilakukan kerana ingin merasai sendiri makna sebenar politik negara dan memahami konsep Malaysia untuk rakyat Malaysia melalui interaksi yang lebih luas dengan pelbagai kaum serta parti politik."Saya percaya pengalaman sedemikian amat penting bagi pembentukan kematangan politik saya."Segala nilai dan kekuatan positif yang terdapat dalam DAP termasuk ketegasan dalam soal kebertanggungjawaban awam, keberanian menentang ketidakadilan serta komitmen terhadap reformasi institusi akan saya bawa bersama-sama selain amalkan di mana-mana platform yang saya sertai pada masa hadapan," ujarnya.Wat Kit mengakui telah mempelajari banyak perkara, selain pernah memegang pelbagai jawatan di peringkat cawangan dan negeri semasa dalam parti, terlibat secara langsung dengan kerja-kerja akar umbi, pengurusan organisasi serta amalan politik."Sumbangan DAP dalam membentuk pemahaman saya terhadap ideologi politik, disiplin organisasi, wacana awam dan semangat semak serta imbang tidak dapat dinafikan. Atas segala peluang dan bimbingan tersebut, saya sentiasa berasa amat berterima kasih."Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan dan para pemimpin yang banyak membimbing serta memberi peluang kepada saya sepanjang penglibatan dalam parti."Walaupun saya memilih untuk melangkah pergi, segala jasa, pengorbanan dan persahabatan yang terjalin tidak akan saya nafikan mahupun lupakan," katanya.Pada awal bulan ini, empat pemimpin DAP Socialist Youth (Dapsy) Johor, termasuk Ketuanya, Loh Wei Jian mengumumkan peletakan jawatan masing-masing susulan peningkatan komitmen dalam urusan organisasi tersebut.Wei Jian berkata, beliau bersama Setiausaha Dapsy Negeri, Suweeta Lam Xiao Wei; Setiausaha Penganjur, Lee Jia Hau dan Ahli Jawatankuasa, Lee Wan Chian telah mengemukakan surat peletakan jawatan pada jam 7 pagi Isnin (1 Disember) serta diserahkan kepada pihak Sekretariat Dapsy Kebangsaan.