Rundingan Thailand-Kemboja tunjuk komitmen, elak konflik berpanjangan - PM

PUTRAJAYA – Proses peralihan pantas daripada pemberhentian permusuhan kepada rundingan susulan antara Kemboja dan Thailand menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk mencegah konflik berulang serta menstabilkan keadaan secara berkekalan.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengalu-alukan persetujuan itu yang dicapai melalui rundingan secara langsung di China, sebagai langkah positif dalam memperkukuh gencatan senjata."Saya mengalu-alukan dengan penuh kehangatan persetujuan antara Kemboja dan Thailand untuk memperkukuh gencatan senjata mereka menerusi rundingan secara langsung yang diadakan di China."Langkah pantas ini mencerminkan keazaman kedua-dua pihak untuk mengelakkan konflik berulang serta menstabilkan keadaan secara lebih berkekalan," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada China atas peranannya menjadi tuan rumah rundingan serta menyediakan suasana yang membolehkan kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada langkah-langkah praktikal bagi mengurangkan risiko dan membina semula kepercayaan."Usaha pemudah cara sedemikian amat bernilai apabila ia menyokong penyaheskalasi dan mengukuhkan usaha serantau," katanya.Dalam pada itu, Anwar turut mengiktiraf peranan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang penglibatannya membantu memeterai Perjanjian Keamanan Kuala Lumpur, sekali gus membuka ruang politik bagi pihak-pihak terlibat berundur daripada konfrontasi dan komited terhadap sikap menahan diri.