SHAH ALAM – Memandu melebihi had laju antara saman bagi kesalahan trafik paling tinggi dibayar orang awam sepanjang pelaksanaan tawaran diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) 2025 di Selangor.Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor, Azrin Borhan berkata, kesalahan itu direkodkan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS)."Kesalahan ini menyumbang jumlah terbesar saman yang diselesaikan sepanjang tempoh tawaran."Sejak tawaran diskaun saman 50 peratus diberikan, sebanyak 90,847 saman telah diselesaikan oleh JPJ Negeri Selangor bermula 1 November 2025 hingga kini," katanya ketika ditemui di Pejabat JPJ Selangor, Padang Jawa di sini pada Selasa.Katanya, sambutan orang awam terhadap tawaran diskaun itu amat menggalakkan, sekali gus menunjukkan komitmen untuk menjelaskan tunggakan saman yang tertunggak."Bagi memastikan urusan pembayaran berjalan lancar dan teratur, JPJ Selangor mengambil beberapa inisiatif termasuk menambah bilangan kaunter pembayaran saman serta membuka kaunter JPJ Mobile."Langkah ini bertujuan memudahkan orang ramai menyelesaikan saman dengan lebih cepat dan efisien, khususnya di lokasi-lokasi tumpuan," katanya.Menurutnya, pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan diri serta pengguna lain."Dengan mematuhi undang-undang dan mengamalkan pemanduan berhemah, orang awam bukan sahaja dapat mengelakkan saman."Sikap ini juga membantu mewujudkan suasana jalan raya yang lebih selamat," katanya.Beliau turut menyeru pengguna jalan raya agar menjadikan tawaran diskaun saman ini sebagai peringatan untuk lebih berdisiplin di jalan raya dan tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang.