MELAKA - Perubahan arah angin secara tiba-tiba dikenal pasti menjadi punca seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak dapat mendarat dengan sempurna ketika menjalani latihan pertunjukan payung terjun di padang Encore Klebang di sini pada Ahad.Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden tersebut berlaku sekitar jam 6.40 petang semasa latihan penerjunan sempena persiapan Pertunjukan Hari Ulang Tahun TDM ke-60.Menurut kenyataan itu, anggota terbabit, Koperal Syed Mohd Azayuzil Afifi Syed Mohd Aziz dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) sedang melaksanakan penerjunan bebas bagi sortie kelima ketika kejadian berlaku."Siasatan awal mendapati perubahan arah angin yang berlaku secara tiba-tiba semasa fasa akhir pendaratan menyebabkan anggota tidak dapat mendarat dengan sempurna."Pegawai perubatan di lokasi telah memberikan bantuan kecemasan serta-merta sebelum anggota dikejarkan ke hospital," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.Sinar Harian melaporkan anggota berkenaan mengalami patah tulang rusuk kanan dan kecederaan pada leher selepas terjatuh ketika melakukan aksi payung terjun.Video kejadian yang tular di media sosial memaparkan payung terjun yang dikendalikan pembantu jurulatih tersebut turun dalam keadaan laju sebelum terhempas di kawasan pendaratan.Menurut kenyataan itu lagi, anggota berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan rapi serta pemantauan lanjut di Hospital Besar Melaka.Dalam pada itu, TDM memaklumkan, pihaknya akan menubuhkan sebuah lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca terperinci kejadian tersebut bagi tujuan penambahbaikan prosedur keselamatan latihan pada masa hadapan."Kebajikan anggota dan keluarganya adalah keutamaan TDM dan pihak kami akan memastikan segala bantuan serta sokongan yang sewajarnya diberikan sepanjang tempoh pemulihan beliau."TDM memohon agar orang ramai mendoakan kesembuhan segera buat anggota tersebut dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam," katanya.Tambah kenyataan itu, perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.