SHAH ALAM - Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap pengembara yang keluar dari Malaysia akan disatukan di pintu-pintu pelepasan mulai 1 Januari 2026.Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, pendekatan itu merupakan satu penambahbaikan operasi yang akan dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bagi melancarkan pergerakan penumpang yang berlepas ke luar negara.Menurutnya, ketika ini JKDM menjalankan pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas Departure Screening di zon berlepas selepas Imigresen."Susun atur ini berpotensi menyebabkan kesesakan pada waktu puncak perjalanan."Bagaimanapun, bermula 1 Januari ini penumpang akan melalui aliran pergerakan yang lebih lancar sebelum menaiki pesawat, sekali gus mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di zon berlepas."Langkah itu tidak menjejaskan tahap keselamatan atau penguatkuasaan kastam, sebaliknya pemeriksaan penumpang dan barangan akan terus diperkukuhkan melalui penyelarasan operasi serta pematuhan prosedur yang dipersetujui bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Tambah MOT, sebarang cubaan membawa keluar barangan yang melanggar undang-undang akan tetap dikenakan tindakan tegas."Penambahbaikan ini dijangka dapat meningkatkan pengalaman penumpang, mempercepatkan proses menaiki pesawat dan memastikan operasi KLIA Terminal 1 berjalan dengan lebih cekap, selamat serta tersusun, selaras dengan amalan terbaik lapangan terbang antarabangsa."Ia dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara MOT, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), JKDM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)," ujarnya.MOT turut merakamkan penghargaan kepada JKDM dan MAHB atas kerjasama erat dalam melaksanakan penambahbaikan berkenaan demi kepentingan orang ramai serta kelancaran operasi lapangan terbang negara.