SHAH ALAM - Sudah tiba masanya Pas melakukan penilaian menyeluruh dan berani terhadap hubungan politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) demi maslahat perjuangan parti serta kepentingan rakyat.Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berpandangan, sayap Pemuda Pas Selangor menegaskan, penilaian itu bukan didorong oleh emosi atau kepentingan sempit, sebaliknya berasaskan realiti politik semasa serta pertimbangan jangka panjang perjuangan parti.Menurutnya, prestasi Bersatu dalam beberapa siri pilihan raya kebelakangan tersebut menunjukkan kemerosotan sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu apabila banyak kawasan parti berkenaan dilihat bergantung kepada kekuatan Pas untuk kelangsungan politik."Namun tuntutan kerusi dan pengaruh sering kali tidak seimbang dengan sumbangan sebenar."Keadaan ini bercanggah dengan semangat keadilan dan keikhlasan dalam konsep tahaluf siyasi," menurut Mohamed Sukri dalam satu kenyataan pada Selasa.Menurutnya, Pemuda Pas Selangor turut berpandangan, pendakwaan dan siasatan terhadap pimpinan utama Bersatu memberi kesan negatif kepada keseluruhan gabungan PN, walaupun Pas tidak terlibat secara langsung dalam isu berkenaan."Persepsi rakyat melihat gabungan ini sebagai satu entiti. Pas tidak seharusnya terus berperanan sebagai ‘penyelamat’ kepada parti lain sehingga merugikan masa depan perjuangan sendiri," ujarnya.Menurut kenyataan sama, kerjasama politik dibenarkan selagi membawa maslahat, manakala menilai semula atau memutuskan hubungan politik adalah sebahagian daripada proses islah dan muhasabah demi kebaikan ummah.Kenyataan Mohamed Sukri itu turut menyentuh isu 'pengkhianatan' dan 'tikam kawan' yang berlaku baru-baru ini yang disifatkan sebagai peringatan penting mengenai keperluan kejujuran serta kesetiaan dalam merealisasikan matlamat perjuangan bersama.Sehubungan itu, Pemuda Pas Selangor menyeru kepimpinan Pas Pusat supaya melakukan penilaian yang tegas dan berani terhadap hubungan dengan Bersatu."Ini bagi menjaga imej dan prinsip perjuangan Islam, memperkukuh kekuatan parti serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pas sebagai parti masa depan negara," tambahnya.