SHAH ALAM – Malaysian Craft Council (MCC) mencatat sejarah tersendiri apabila dipilih menganggotai Badan Penilai di bawah UNESCO bagi Konvensyen 2003 Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara untuk penggal 2026 hingga 2029.Pemilihan itu dibuat menerusi undian semasa Sesi ke-20 Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang berlangsung di New Delhi, India sekali gus meletakkan MCC dalam kedudukan strategik di peringkat antarabangsa bagi menilai pencalonan warisan budaya tidak ketara dunia.Setiausaha Kehormat MCC, Arja Lee, berkata, pelantikan berkenaan merupakan pengiktirafan penting terhadap pengalaman dan sumbangan Malaysia dalam memelihara serta memperkasa warisan budaya tidak ketara."Sebagai anggota Badan Penilai, MCC akan terlibat secara langsung dalam proses penilaian pencalonan dan permohonan yang dikemukakan oleh negara-negara anggota, termasuk pencalonan ke Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO serta permohonan Bantuan Antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Menurut beliau, penglibatan MCC akan dilaksanakan secara telus dan profesional, selaras dengan garis panduan Konvensyen UNESCO 2003."Peranan ini dilaksanakan secara bebas dengan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan integriti yang digariskan oleh UNESCO," ujarnya.Tambahnya, penyertaan MCC dalam badan penilaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong usaha perlindungan warisan budaya tidak ketara dunia yang berasaskan komuniti dan kelestarian."Pendekatan ini selari dengan penekanan UNESCO yang melihat warisan sebagai amalan budaya hidup yang terus berkembang dan diwariskan merentas generasi," katanya.Dalam pada itu, MCC merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO serta semua negara anggota atas kepercayaan yang diberikan.Penghargaan turut ditujukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia untuk UNESCO, Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO serta Kementerian Luar Negeri Malaysia atas sokongan dan kerjasama berterusan.MCC komited untuk melaksanakan amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab serta terus menyumbang kepada usaha global bagi memastikan pemeliharaan dan kelangsungan warisan budaya tidak ketara untuk generasi akan datang.MCC merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berperanan sebagai ejen advokasi bagi memacu pertumbuhan industri kraf negara. Ia mewakili pelbagai kategori kraf dan seni persembahan, selain menjadi jambatan strategik antara pemain industri dalam memposisikan kesenian Malaysia di peringkat antarabangsa.MCC dilantik sebagai NGO bertauliah UNESCO pada 2024 dan juga merupakan ahli National Entity kepada World Craft Council.