KUALA LUMPUR - Kerajaan MADANI meneruskan usaha memartabatkan Islam berpaksikan nilai ihsan, keadilan dan kebijaksanaan, bukan sekadar sebagai identiti, tetapi juga sebagai asas dalam tadbir urus dan kepimpinan negara sepanjang tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Menerusi hantaran di X hari ini, Anwar berkata, usaha berkenaan diperkukuh menerusi pertemuan dan wacana bersama-sama para ulama tersohor dari dalam dan luar negara yang berlangsung dalam suasana saling menghormati serta penuh kepercayaan.Beliau berkata, pertemuan berkenaan menjadi ruang pertukaran pandangan secara jujur tentang cabaran umat serta peranan kepimpinan Islam dalam dunia yang kian teruji."Saya menegaskan keperluan agar pimpinan Islam tampil lebih tegas dan berani dalam perkara yang menyentuh kepentingan umat, serta terlibat secara aktif mencari penyelesaian yang adil dan bermaruah, termasuk dalam memperjuangkan hak kemanusiaan saudara kita yang terus menderita di Gaza," kata Anwar.Perdana Menteri turut berdoa agar setiap langkah memartabatkan Islam, dipandu amanah dan kebijaksanaan, serta membawa manfaat kepada umat dan kemanusiaan seluruhnya. - Bernama