Menyamar jadi penghantar makanan sebelum pecah masuk rumah

ISKANDAR PUTERI – Taktik licik seorang lelaki tempatan menyamar sebagai penghantar makanan dengan memakai baju e-hailing sebelum melakukan jenayah pecah rumah akhirnya terbongkar.Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek berusia 49 tahun yang tidak bekerja itu diberkas di Taman Austin Perdana, Johor Bahru pada Khamis lalu."Hasil siasatan mendapati suspek aktif melakukan jenayah sejak pertengahan tahun ini dan bergerak seorang diri."Suspek akan memantau kawasan sasaran dengan memakai pakaian penghantar makanan bagi mengelakkan dirinya disyaki sebelum melakukan jenayah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, suspek menyasarkan rumah tidak berpenghuni dan akan masuk melalui tingkap tepi rumah dengan cara mengumpil jeriji menggunakan alatan pecah rumah yang dibawa bersama.Menurut Kumarasan, pelbagai barangan dirampas antaranya tiga alat kawalan jauh kenderaan, dua telefon bimbit, satu kad akses rumah, sebuah komputer riba, kamera papan pemuka, jam tangan, topeng muka, jaket, kasut, topi keledar serta lima beg pelbagai jenis.Selain itu, polis turut merampas dua pasang sarung tangan, tiga keping papan nombor pendaftaran kenderaan, sebuah motosikal Yamaha Y16ZR, sebuah kereta, tiga alat permainan video serta pelbagai peralatan pecah rumah."Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau."Saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine."Penangkapan suspek membawa penyelesaian tiga kes pecah rumah dan curi kenderaan yang berlaku di sekitar Bukit Indah."Suspek kini direman selama enam hari bermula Rabu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut."Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dengan niat melakukan jenayah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri kenderaan," ujarnya.-end