SHAH ALAM – Langkah kerajaan yang tidak mewajibkan pemakaian tali leher kepada murid sekolah mulai sesi persekolahan tahun hadapan lebih realistik dan mesra murid.Penjawat awam, Norhazira Yunus, 45, berpandangan, dasar tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan keluarga, malah memberi keselesaan kepada murid yang terpaksa berdepan cuaca panas sepanjang hari di sekolah."Setiap awal tahun persekolahan, ibu bapa perlu sediakan pelbagai kelengkapan termasuk tali leher yang harganya juga tidak murah."Apabila sudah tidak diwajibkan, ia sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Sebelum ini Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan, pemakaian tali leher tidak lagi wajib bagi murid sekolah mulai sesi persekolahan tahun depan.Perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat siaran bertarikh 17 Disember lalu susulan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Profesional Khas KPM 2025 yang diadakan pada 8 Disember.Menurut KPM, dasar tersebut menetapkan bahawa tiada sebarang paksaan atau tekanan boleh dikenakan ke atas murid berkaitan pemakaian tali leher di sekolah.Antara faktor utama yang dipertimbangkan termasuk keadaan iklim tempatan yang panas dan lembap yang didapati kurang sesuai untuk pemakaian tali leher secara harian serta boleh menjejaskan keselesaan murid.Selain itu, langkah berkenaan juga selari dengan usaha KPM untuk mengurangkan tekanan kewangan yang ditanggung oleh isi rumah, khususnya dalam penyediaan kelengkapan persekolahan.Sementara itu pekerja swasta, Akbar Azis, 42, menyifatkan, keputusan KPM itu sebagai langkah yang tepat, namun berharap pihak sekolah dapat memberikan penjelasan kepada ibu bapa bagi mengelakkan kekeliruan."Walaupun tidak diwajibkan, pihak sekolah perlu memastikan penampilan murid kekal kemas dan berdisiplin."Jangan sampai ada salah faham seolah-olah pakaian sekolah boleh dipakai sesuka hati," ujarnya.Bagi pekerja swasta, Susilawati Mardi, 39, berharap, arahan terbaharu itu dipatuhi sepenuhnya oleh pihak sekolah tanpa sebarang paksaan terhadap murid."Saya bimbang jika masih ada sekolah yang mewajibkan pemakaian tali leher atas alasan imej sekolah."Arahan KPM perlu dilaksanakan secara seragam supaya tidak membebankan murid dan ibu bapa," jelasnya.