AKPS gagalkan cubaan empat warga China masuk Malaysia

BUKIT KAYU HITAM - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan empat lelaki warga China daripada memasuki Malaysia selepas didapati tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.Menurut Timbalan Komander Operasi AKPS, Tuan Noor Azam Ahmad, kesemua individu berkenaan disyaki bukan pelancong tulen dan gagal mengemukakan alasan yang munasabah untuk memasuki negara ini."Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebab yang sah untuk berada di Malaysia dan dipercayai mempunyai tujuan lain selain melancong," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.Beliau berkata, tindakan penolakan kemasukan itu dibuat ketika pemeriksaan dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini.Dalam pada itu, Noor Azam memaklumkan bahawa kesemua warga China terbabit dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun."Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang rampasan dilakukan ke atas individu terbabit," jelasnya.Sehubungan itu, katanya, kesemua warga asing berkenaan diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.Tambah beliau, tindakan berkenaan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan keselamatan dan kawalan pintu masuk negara sentiasa berada pada tahap tertinggi."Langkah ini penting bagi mengelakkan pintu masuk negara daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya lagi. - Awani