Sindiket diesel Sarawak: SPRM buka fail siasatan tatakelola

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) telah membuka fail penyiasatan tatakelola bagi mengenal pasti aspek kelemahan serta ketidakpatuhan melibatkan kegiatan penyeludupan diesel di Sarawak.Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan berkata, bagi kes melibatkan kegiatan penyeludupan diesel di Sarawak yang digempur oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM pada September lalu, satu pasukan penyiasatan oleh BPT SPRM telah dibentuk bagi menjalankan penyiasatan tatakelola ke atas sebuah syarikat.Menurutnya, pasukan penyiasatan dari BPT SPRM ini telah menyertai operasi berkenaan pada Oktober bagi menganalisis dokumen-dokumen yang diperoleh melibatkan aspek tatacara mencukupi di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009."Susulan siasatan itu juga, BPT SPRM telah merakam percakapan empat individu berjawatan pengurus syarikat dan telah mengesyorkan tiga penambahbaikan aspek tatakelola kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, syor penambahbaikan berkenaan ialah mewajibkan stesen minyak di Sabah dan Sarawak menggunakan Sistem Automatic Tank Gauge (ATG) yang dapat membantu KPDN mengesan penyelewengan subsidi diesel.Tambahnya, syor penambahbaikan kedua ialah supaya KPDN mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak agar menetapkan spesifikasi lori minyak yang komprehensif kepada semua retailer stesen minyak yang menggunakan pengangkutan sendiri bagi tujuan pemantauan pengedaran."Antara spesifikasi wajib yang perlu ditekankan ialah pemasangan sekurang-kurangnya empat kamera di lori dan juga pemasangan GPS bagi memudahkan pemantauan serta memastikan minyak yang dibeli di hantar ke lokasi yang sepatutnya."Selain itu, KPDN juga disyorkan mewujudkan garis panduan yang khusus berhubung penguatkuasaan dan pengauditan berkaitan kawalan ke atas barang kawalan petroleum subsidi diesel dan subsidi petrol bagi membanteras ketirisan hasil kerajaan."Contoh garis panduan yang boleh dirujuk ialah Garis Panduan Khusus Kaedah Pengauditan Gas petroleum Cecair (LPG)," ujarnya.Laporan eksklusif Sinar Harian pada 9 September lalu melaporkan kegiatan sebuah syarikat menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api tersebut ke seluruh negeri Sarawak dipercayai telah menyebabkan kerugian puluhan jutaan ringgit kepada negara.Rangkaian sindiket dipercayai membayar wang rasuah kepada 'orang dalam' sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di sekitar negeri terbabit.Berikutan itu, SPRM menerusi Op Karen di Sarawak telah menahan lima individu membabitkan tiga pengarah syarikat, seorang pengurus syarikat dan seorang pengurus wilayah.Sitaan membabitkan lima unit kereta (RM1.7 juta), 24 bidang tanah (RM3 juta), lima kapal (RM52 juta), minyak diesel (RM9.7 juta), wang kripto RM564,673 serta wang tunai RM28,000.