PATI cuba lari ikut tangga, lif elak dicekup

KUALA LUMPUR - Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri melalui tangga dan lif gagal apabila mereka berjaya ditahan dalam serbuan di Blok 21, Flat Taman Bukit Angkasa di sini pada Rabu.Operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur itu bermula jam 1 pagi hingga 2.30 pagi dengan kekuatan seramai 35 pegawai dan anggota.Tinjauan Sinar Harian ketika mengikuti operasi mendapati pelbagai taktik digunakan warga asing bagi mengelak ditahan, termasuk berpura-pura tidak mendengar arahan pegawai ketika pintu unit dibuka.Sebahagian mereka turut bersembunyi di sudut bilik serta dengan harapan kehadiran mereka tidak disedari pihak berkuasa.Bagaimanapun, beberapa warga asing yang berlari turun melalui tangga berjaya ditahan oleh pegawai JIM yang telah mengepung kawasan kediaman itu.Selain itu, terdapat juga individu yang cuba menggunakan lif sebagai jalan keluar dengan berpura-pura seolah-olah tiada operasi sedang dijalankan bagi mengaburi pegawai penguat kuasa.Seorang PATI, Hassan, 33, dari Bangladesh, mengakui sudah berada di Malaysia selama dua tahun menggunakan pas pelawat."Saya bekerja di sebuah kedai makan di pusat beli-belah dengan gaji RM1,700 sebulan dan sudah berkahwin serta mempunyai empat anak yang berada di Bangladesh."Saya pilih tinggal di sini sebab cuaca Malaysia dan ramai kawan. Gaji di sini pun okey, boleh kirim duit ke kampung setiap bulan," katanya.Seorang lagi individu dikenali sebagai Lino, 26, dari Medan, Indonesia, berkata dia tiba di Malaysia pada September lalu dan menyewa bilik di kawasan itu bersama tiga rakan lain dengan kadar sewa RM450 sebulan bagi setiap orang."Saya bekerja sambilan di sebuah pusat beli-belah dengan pendapatan mencecah RM2,000 sebulan dan mendakwa datang ke Malaysia selepas dipujuk rakan yang memberitahu peluang pekerjaan serta gaji lumayan di sini," katanya.Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 133 PATI ditahan dalam Ops Kutip yang dijalankan di lokasi berkenaan."Seramai 300 individu warga asing diperiksa dalam operasi itu, dengan 133 orang berusia 19 hingga 50 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen."Pecahan warganegara yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan empat perempuan dari Myanmar; 13 lelaki dari Pakistan; 27 lelaki dari Bangladesh; 32 lelaki dan 28 perempuan dari Indonesia; seorang lelaki dari India serta sembilan lelaki dari Nepal," katanya.Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur dan Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).