KUALA LANGAT - Seorang penunggang motosikal putus pergelangan tangan kanan selepas dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom di sini pada Selasa.Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari melibatkan tiga kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha LC135, Proton Satria serta Toyota Vellfire.Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa iaitu lelaki berusia lingkungan 20-an yang keluar dari simpang dilanggar Proton Satria."Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit tercampak ke bahu jalan, manakala Proton Satria itu melanggar besi penghadang jalan sebelum berpusing dan masuk ke lorong bertentangan hingga melanggar bahagian hadapan sebuah Toyota Vellfire."Penunggang motosikal telah mengalami kecederaan putus pergelangan tangan kanan dan cedera di kaki kanan sebelum dikejarkan ke Hospital Banting," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, mangsa telah menjalani pembedahan dan dilaporkan stabil.Tambahnya, kedua-dua pemandu Proton Satria dan Toyota Vellfire bagaimanapun tidak mengalami kecederaan."Semakan mendapati kesemua mereka mempunyai lesen memandu yang sah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.Jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian berkenaan diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222.