Penduduk rasa tidak selamat, warga asing berkelakuan tidak senonoh

KUALA LUMPUR - Penduduk Blok 21, Flat Taman Bukit Angkasa, di sini, mendakwa perbuatan tidak senonoh oleh segelintir warga asing menimbulkan rasa tidak selamat khususnya terhadap kanak-kanak.Perkara itu didedahkan Pengerusi penduduk, Muhammad Suhaily Tambi, 43, yang mengakui situasi berkenaan semakin membimbangkan sejak dia menetap bersama keluarga di kawasan itu pada 2009."Kehadiran warga asing yang menyewa di kediaman ini mencecah kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan penghuni blok."Majoriti warga Bangladesh. Mereka menyewa daripada pemilik asal dengan kadar antara RM1,800 hingga RM2,000 seunit," katanya.Muhammad Suhaily berkata, antara gangguan yang kerap berlaku termasuk mabuk, vandalisme, meludah daun sirih merata-rata, mengetuk pintu lif dan ada juga yang didakwa menunjukkan alat kemaluan, selain berbaring dan melepak di balkoni."Keadaan menjadi semakin tidak selesa pada waktu petang apabila kawasan balkoni serta koridor didakwa dimonopoli warga asing yang melepak dalam kumpulan," katanya.Katanya, situasi itu menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan penduduk terutama kanak-kanak yang menggunakan ruang awam di blok berkenaan."Kebanyakan warga asing di sini bekerja sebagai pengawal keselamatan dan di kilang berhampiran," katanya.Sementara itu, seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Ismail, berusia 40-an berkata, dia sudah menetap di kawasan berkenaan sejak 15 tahun lalu dan mendakwa keadaan kini semakin meresahkan."Kehadiran warga asing menyebabkan pelbagai gangguan antaranya minum minuman keras serta buang sampah di kawasan perumahan termasuk di laluan tangga."Warga asing yang monopoli kawasan ini terdiri daripada warga Nepal, Bangladesh dan Indonesia.Ismail berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan penduduk termasuk menegur namun dakwanya tidak diendahkan oleh sebahagian warga asing terbabit."Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) sudah mengehadkan aktiviti melepak sehingga jam 10 malam sebagai langkah kawalan, namun ada yang tidak mematuhi arahan berkenaan," katanya.