Kemelut politik Perlis bukan salah Bersatu, tiada unsur pengkhianatan - Ketua Ulama Pas Perlis

KANGAR - Kemelut politik yang melanda Perlis ketika ini tidak wajar diletakkan sepenuhnya di bahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tidak melibatkan sebarang unsur pengkhianatan, kata Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Perlis, Ahmad Adnan Fadzil.Menurutnya, polemik semasa termasuk tindakan menghentikan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas perlu dilihat secara lebih adil dan menyeluruh, tanpa dipengaruhi sentimen atau desakan emosi."Saya kekal dengan pendirian bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam kemelut ini. Begitu juga Bersatu yang pada hemat saya tidak terlibat langsung dalam krisis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Ahmad Adnan berkata, Pas masih belum mampu memenangi pilihan raya dengan kekuatan sendiri sepenuhnya meskipun memiliki jentera dan akar umbi yang kukuh, justeru gabungan politik masih diperlukan bagi menampung kekurangan tertentu.Jelasnya, tidak dinafikan Pas kuat dari sudut jentera, namun masih ada kekuatan penting yang belum dimiliki sepenuhnya seperti keyakinan sebahagian rakyat dan faktor kemesraan politik."Pas memerlukan gabungan bagi menampung kekurangan tersebut. Buat masa ini, gabungan paling ideal ialah bersama Bersatu. Perikatan Nasional (PN) wajar dikekalkan," katanya.Mengulas punca kemelut, beliau berpandangan ia berpunca daripada kegagalan pihak tertentu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, khususnya dalam urusan rundingan dengan pihak istana.Menurutnya, kegagalan berunding secara berkesan selepas hasrat Tuanku Raja Perlis dimaklumkan berhubung pertukaran Menteri Besar atas alasan salah laku terhadap institusi diraja telah menyebabkan Raja Perlis terpaksa menggunakan sepenuhnya budi bicara baginda.Beliau turut mendakwa dokumen yang sering disebut sebagai akuan bersumpah (SD) tidak ditandatangani di luar, sebaliknya dibuat di hadapan Tuanku Raja sendiri."Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya pihak yang diamanahkan memainkan peranan mereka dengan sebaiknya sejak awal," katanya lagi.Ahmad Adnan juga memaklumkan bahawa pada saat-saat akhir sebelum pengisytiharan Menteri Besar baharu daripada Bersatu, Tuanku Raja Perlis masih membuka ruang untuk jawatan itu kekal disandang oleh wakil Pas, namun peluang tersebut gagal dimanfaatkan oleh ADUN Pas yang terlibat.Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan kononnya calon Pas Perlis terikat dengan bai‘ah ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga perlu disiasat dan diperjelaskan secara telus kerana difahamkan tiada sebarang bai‘ah ditandatangani ketika itu.Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa meletakkan keseluruhan kesalahan ke atas Bersatu adalah tidak adil dan berisiko mencetuskan desakan yang tidak perlu termasuk gesaan peletakan jawatan."Tiada siapa yang perlu meletakkan jawatan. Apa yang lebih penting ialah menilai semula kesilapan yang berlaku, melakukan pembetulan dan meneruskan amanah dengan lebih matang dan bertanggungjawab," katanya.Ahmad Adnan turut berpandangan bahawa kerajaan negeri Perlis wajar terus ditadbir oleh PN seperti sebelum ini dengan perubahan hanya melibatkan jawatan Menteri Besar, manakala Pilihan Raya Kecil (PRK) pula perlu dielakkan kerana PN berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan dalam keadaan semasa.