28 tahun Beras Cap Masjid kini Beras Cap Astana

Selepas hampir tiga dekad berada di  pasaran, jenama beras yang dikenali  sebagai Beras Cap Masjid kini  melalui satu fasa baharu apabila tampil  dengan penjenamaan semula sebagai  Beras Cap Astana.  Menurut Capital Route Sdn Bhd  (Capital Route) langkah penjenamaan  semula itu bukan sekadar perubahan  wajah, tetapi mencerminkan komitmen  syarikat untuk mematuhi peruntukan  undang-undang sedia ada serta  menghormati sensitiviti dan agama  Islam.  Katanya, beras Cap Masjid berada di  pasaran sejak tahun 1997 dan selama 28 tahun menggunakan jenama tersebut, ia dikenali  dalam kalangan pengguna tempatan sebagai  salah satu pilihan beras di pasaran, khususnya  dalam komuniti Muslim."Jadi, bagi menghormati agama Islam, syarikat  mengambil pendekatan bertanggungjawab  menghentikan penggunaan imej dan nama  masjid pada pelabelan produk dengan melakukan  penjenamaan semula sebagai Beras Cap Astana. "Ini juga bagi mengelakkan sebarang salah faham atau implikasi  yang tidak wajar dalam kalangan pengguna," katanya kepada Sinar  Harian.Berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 Akta  Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), pelabelan serta jenama yang  mengandungi ilustrasi dan nama bangunan ibadah adalah tidak  dibenarkan bagi mengelakkan sebarang implikasi.  Menurut Capital Route, jenama baharu Cap Astana dipilih sebagai  identiti yang lebih ‘neutral’, profesional dan patuh peraturan, tanpa  menjejaskan kualiti produk yang telah dibina sejak sekian lama. Ia juga sejajar dengan keperluan pasaran semasa serta peningkatan  kesedaran pengguna terhadap aspek pematuhan undang-undang dan  ketelusan maklumat produk."Walaupun tidak lagi menggunakan identiti lama, syarikat  menegaskan bahawa perubahan ini tidak menjejaskan komitmen  terhadap kualiti beras yang ditawarkan. A"Syarikat sentiasa komited dalam memastikan setiap produk yang  ditawarkan memenuhi keperluan halal, mengekalkan kualiti makanan  yang konsisten serta memberikan nilai terbaik kepada pelanggan,"  tegasnya.  Dalam pada itu, Capital Route berkata, penjenamaan semula  tersebut turut diperkukuh dengan kejayaan memperoleh persijilan  halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekali gus menjadi satu  pencapaian penting dalam perjalanan jenama tersebut."Bukan mudah untuk memperoleh sijil halal Jakim kerana ia melalui  proses penilaian yang ketat. Kami berjaya mendapatkan pengiktirafan  halal ini dalam tempoh yang singkat hasil komitmen penuh terhadap  pematuhan dan kualiti. Persijilan halal dari Jakim bukan sahaja mengesahkan pematuhan  terhadap piawaian halal, malah meningkatkan tahap kepercayaan  pengguna terhadap keseluruhan rantaian bekalan dan proses  pengendalian produk," katanya.