Pas Perlis ingatkan ahli tidak buat kenyataan bercanggah dengan pendirian parti

KANGAR - Pas Perlis mengingatkan semua pimpinan dan ahli parti di setiap peringkat supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan peribadi yang bercanggah dengan pendirian rasmi parti berhubung krisis politik yang sedang melanda negeri ini.Pesuruhjayanya, Ahmad Ali berkata demikian dalam satu kenyataan ringkas yang dipetik di media sosialnya"Saya mengingatkan kepada semua pimpinan dan ahli Pas di semua peringkat agar tidak membuat kenyataan-kenyataan peribadi yang bercanggah dengan pendirian parti berkaitan krisis yang sedang berlaku."Serahkanlah kepercayaan (tsiqah) kepada Pas Pusat dalam mencari penyelesaian terbaik kepada krisis ini," katanya.Terdahulu, media melaporkan Pas memutuskan bahawa keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) bersama lima ADUN Bersatu yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu pada Rabu lalu.Menurut beliau, mesyuarat berkenaan memutuskan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) bahawa keahlian ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan terhenti serta-merta.Susulan daripada itu, Pas pada Selasa turut membuat ketetapan bahawa semua ADUN parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah.Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua anggota Exco Pas sedia ada pula akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.