BUENOS AIRES - Polis telah menggeledah ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Selasa yang memetik pihak berkuasa.Penyiasat sedang mencari dokumen berkaitan urusan perniagaan antara AFA dengan syarikat TourProdEnter.Firma yang berdaftar di Amerika Syarikat (AS) itu dilaporkan telah mengumpul lebih AS$260 juta hasil penajaan dan yuran penyiaran antarabangsa bagi pihak persatuan berkenaan sepanjang empat tahun lepas.Walaupun sebahagian besar wang itu digunakan untuk membiayai aktiviti AFA, sejumlah AS$42 juta didakwa telah dipindahkan ke empat buah syarikat yang berdaftar di Florida, AS, menurut laporan akhbar La Nación.Syarikat-syarikat terbabit dikatakan telah ditubuhkan oleh individu yang disyaki sebagai proksi di Argentina. Bagaimanapun, AFA menafikan sebarang salah laku.Menurut laporan itu, syarikat-syarikat terbabit membayar invois bernilai jutaan dolar bagi penyewaan pesawat peribadi, kapal persiaran mewah, kereta dan hartanah. Buat masa ini, belum dapat dipastikan pihak yang akhirnya mendapat manfaat daripada transaksi berkenaan.Dalam satu kenyataan, AFA mengesahkan bahawa mereka mempunyai kontrak sah dengan TourProdEnter untuk mewakili kepentingan komersialnya di luar negara.Persatuan itu menyatakan bahawa hubungan perniagaan berkenaan telah disemak oleh mahkamah di AS dan Argentina, dan tiada sebarang penyelewengan ditemukan.Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan TourProdEnter telah ditahan polis di lapangan terbang Buenos Aires semasa cuba menaiki penerbangan peribadi ke Uruguay. Kediaman peribadinya turut digeledah.Serbuan itu dilakukan hanya tiga minggu selepas polis menggeledah ibu pejabat AFA sebelum ini sebagai sebahagian daripada siasatan pengubahan wang haram yang berasingan. - Bernama