Romantic Echoes tampil solo julung kali di Kuala Lumpur

SELEPAS mencuri perhatian peminat tempatan menerusi persembahan di Nyala Fest tahun lalu, kumpulan indie terkenal dari Indonesia, Romantic Echoes bakal mengadakan persembahan solo pertama mereka di Malaysia pada 6 Februari 2026.Konsert yang diberi judul Dentum: The First Romantic Echoes Showcase Live In Malaysia itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, sekali gus menandakan kemunculan sulung kumpulan berkenaan dalam format persembahan solo di negara ini.Sebagai pembuka tirai konsert, Romantic Echoes turut menampilkan kumpulan tempatan, Midnight Fusic sebagai artis jemputan, sekali gus memberi nilai tambah kepada peminat muzik indie tempatan dan serantau.Jurucakap penganjur merangkap pengurus projek, Azreel Azhar berkata, penganjuran konsert itu didorong oleh sambutan hangat yang diterima Romantic Echoes ketika tampil di Nyala Fest pada penghujung November 2024.Ujarnya, permintaan tinggi dalam kalangan peminat tempatan menjadi faktor utama pihak Neptunes Presents membawa kumpulan berkenaan untuk mengadakan persembahan solo pertama di Malaysia."Persembahan Romantic Echoes sebelum ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Justeru, ia menjadi pemangkin untuk kami merealisasikan sebuah konsert solo bagi memenuhi permintaan peminat," katanya.Azreel turut memaklumkan, pihak penganjur dan pengurusan Romantic Echoes kini giat membuat persiapan rapi bagi menyajikan sebuah persembahan yang lebih istimewa, termasuk elemen kejutan buat penonton."Romantic Echoes dijangka menyampaikan sekitar 18 buah lagu popular daripada empat album mereka, termasuk beberapa karya yang belum pernah dipersembahkan sebelum ini," jelasnya lagi.Antara lagu hit kumpulan berkenaan yang dijangka dipersembahkan termasuk Persembahan Dari Masa Lalu, Paradisa, Amarah, Gaung Asmara dan Yang Kau Hindari Terjadi.Mengulas lanjut, Azreel berkata, persembahan solo pertama Romantic Echoes di Malaysia dijangka menampilkan konsep dan elemen berbeza berbanding persembahan terdahulu, khususnya sebagai penghargaan buat peminat setia mereka yang dikenali sebagai Divisi Romantis."Zepp Kuala Lumpur dipilih kerana ia menawarkan suasana yang lebih dekat dengan penonton dan tidak asing buat peminat tempatan. Kami percaya konsert ini mampu meninggalkan kenangan indah dan romantis buat semua yang hadir," ujarnya.Sebelum ini, Romantic Echoes pernah tampil dalam beberapa persembahan bersama pemuzik tempatan serta festival muzik seperti Nyala Fest 2024 dan Sound Circus yang dianjurkan oleh Art of Speed.Tiket untuk menyaksikan Dentum: The First Romantic Echoes Showcase Live In Malaysia dijual kepada orang ramai bermula 30 Disember menerusi platform Ticket Empire.