Tolak jawatan Exco Perlis bukti kematangan politik Pas - Pas Pahang

KUANTAN - Keputusan Pas Perlis tidak mengganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri yang dibentuk Menteri Besar Perlis baharu, Abu Bakar Hamzah membuktikan kematangan politik yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi jawatan peribadi.Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Hassanuddin Salim berkata, keputusan itu juga sebagai bukti sikap tegas Pas dalam menjaga integriti dan prinsip perjuangan.Menurutnya, Pas sanggup berkorban kedudukan pentadbiran demi mempertahankan kesatuan dan keutuhan Perikatan Nasional (PN)."Sikap tidak tamak kuasa ini amat jarang dalam politik negara ini dan perlu dipuji sebagai contoh kepimpinan berintegriti," katanya melalui kenyataan di Facebook Pas Pahang pada Rabu.Sementara itu, Hassanuddin berkata, keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Pengerusi PN demi kepentingan lebih besar sebagai satu tindakan dan tanda kepimpinan berjiwa besar yang mengutamakan kesejahteraan gabungan berbanding ego peribadi.Tambah beliau, Pas Pahang tekad memperjuangkan kesatuan ummah di Pahang dengan pelantikan Naib Presiden Pas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Ketua PN Pahang."Di bawah kepimpinan beliau, PN Pahang akan terus kukuh dan berkesan memperjuang rakyat."Pelantikan ini cerminan persefahaman dan kepercayaan antara komponen PN dan kesatuan ummah bukan sekadar slogan tetapi tindakan nyata," katanya.Menurut ADUN Kuala Semantan itu lagi, politik yang diperjuangkan bukan untuk kuasa sempit, tetapi memberi khidmat kepada rakyat dan memacu kemajuan negara."Kami berpegang pada prinsip 'buang yang keruh, ambil yang jernih' dengan Kesatuan Melayu Islam sebagai keutamaan."Kami tidak berkompromi dengan pihak yang cuba memecah perpaduan ummah justeru Pas Pahang akan memastikan PN negeri ini kekal sebagai benteng perpaduan ummah yang teguh," ujarnya.