PENANTIAN lebih dua dekad peminat akhirnya tamat apabila karya dunia pengembaraan masa yang pernah mencetuskan fenomena budaya pada awal 2000-an kembali ke layar perak menerusi filem Back to the Past bakal ditayangkan serentak di pawagam beberapa buah negara termasuk Malaysia bermula 31 Disember.Filem tersebut merupakan kesinambungan sinematik kepada siri televisyen legenda A Step into the Past yang ditayangkan pada 2001, sekali gus menghidupkan semula nostalgia generasi penonton yang membesar bersama kisah Hong Siu-lung dan konflik merentas zaman Dinasti Qin.Diterbitkan oleh Louis Koo, filem itu diarahkan oleh Ng Yuen Fai bersama Jack Lai, manakala legenda seni mempertahankan diri Sammo Hung Kam Po bertindak sebagai Pengarah Koreografi Aksi.Gabungan nama besar di belakang tabir ini menjadi antara faktor yang memastikan roh epik asal diterjemahkan ke skala sinematik lebih besar dan matang.Kepulangan barisan pelakon asal termasuk Raymond Lam, Jessica Hsuan, Sonija Kwok dan Joyce Tang turut menjadi tarikan utama. Kehadiran semula watak-watak ikonik ini bukan sahaja membangkitkan memori lama, malah mengukuhkan kesinambungan emosi yang telah terjalin sejak lebih 20 tahun lalu.Elemen nostalgia turut diperkukuh menerusi penggunaan semula lagu tema terkenal, Destiny, yang sinonim dengan karya tersebut.Dari sudut penceritaan, filem ini membawa penonton kembali ke era penyatuan enam negeri oleh Dinasti Qin, dengan konflik lama antara Hong Siu-lung dan Raja Qin, Chiu Poon, kembali menjadi nadi utama cerita.Kehidupan Siu-lung yang cuba melarikan diri daripada masa silam sekali lagi diuji apabila cita-cita dan kuasa mutlak Chiu Poon mengheretnya kembali ke kancah pergolakan sejarah.Pertembungan yang dipaparkan bukan sekadar soal kuasa dan politik, sebaliknya menyentuh isu kesetiaan, tanggungjawab serta emosi yang tidak pernah benar-benar terlerai.Filem ini mengajak penonton merenung persoalan sama ada seseorang mampu melarikan diri daripada takdir, atau terpaksa berdepan dengan masa lalu yang pernah ditinggalkan.Selain watak lama, Back to the Past turut memperkenalkan karakter baharu, Hang Po-yee lakonan Angus Zhu, yang sebelum ini hanya muncul sebagai kanak-kanak dalam siri asal. Kemunculannya sebagai pahlawan muda memberi isyarat peluasan dunia cerita ke arah landskap sejarah yang lebih luas.Diadaptasi daripada novel karya penulis tersohor Wong Yi, karya tersebut turut tampil dengan peningkatan dari segi visual, skala pertempuran serta pengolahan watak, sambil mengekalkan teras emosi yang pernah menjadikannya karya ikonik.