JASIN - Seorang wanita meluahkan rasa sedih dan terkejut apabila mendapati kanak-kanak yang dipukul dalam sebuah video tular di media sosial rupa-rupanya adik sepupunya sendiri.Menerusi hantaran di Facebook, Nur Azwaa berkata, dia pada mulanya menyangka video yang memaparkan seorang kanak-kanak dipukul dan dibuli di kawasan padang permainan itu melibatkan individu lain.Namun katanya, perasaan pilu menyelubungi dirinya selepas mengetahui mangsa dalam rakaman berkenaan adalah dalam kalangan ahli keluarganya sendiri."Sumpah gigil tengok budak ini kena pukul, kena buli sampai macam ini. Rupanya keluarga aku sendiri. Selama ini tengok orang luar saja kena, bila jadi dekat keluarga sendiri, sayu hati tengok."Kena pukul, kena pijak sampai pengsan. Ya ALLAH, kejadian di Melaka," katanya menerusi hantaran tersebut.Menerusi hantaran itu, dia turut berkongsi video berdurasi dua minit empat saat yang memaparkan situasi mangsa dikasari di sebuah padang awam pada waktu siang.Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada 13 Disember lalu, namun laporan polis hanya dibuat pada 29 Disember 2025.Pada awalnya, pihak keluarga dipercayai berhasrat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik, namun insiden berkenaan kemudiannya menjadi tular di media sosial.Dalam pada itu, Nur Azwaa turut meluahkan rasa kesal apabila tiada orang awam yang tampil menyalurkan bantuan sewaktu kejadian berlaku."Dapat maklumat sebelum dirakam pun adik sudah teruk kena pukul dan dipijak. Tidak tahu berapa lama adik bergelut seorang diri melawan. Sayu hati tengok. Sampai bila buli ini nak berterusan?" luahnya.