KUALA LUMPUR - Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa Khamis.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang bersidang pada 19 November 2025 dan telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025."Pelantikan berkenaan diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat Malaysia."Ini juga meningkatkan keupayaan operasi Angkatan Tentera Malaysia dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara pada masa kini dan hadapan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Sebelum ini, media melaporkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau.Mohamed Khaled dalam kenyataan dilaporkan berkata langkah itu bagi memberi ruang pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilapor membabitkan pegawai berkenaan.Terdahulu pada 23 Disember lalu, laporan media memetik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.Susulan itu, media melaporkan tiga individu sudah dipanggil SPRM untuk dirakam keterangan berhubung siasatan perolehan projek tentera yang turut membabitkan semakan ke atas beberapa akaun disyaki ada kaitan amalan rasuah.