SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar (bidding) serta menetapkan kadar tambang lantai e-hailing demi memastikan keadilan kepada semua pihak dalam industri.PPIM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengakui sistem tambang bidding memberikan kelebihan tertentu kepada pengguna namun kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing tidak boleh diketepikan.Menurutnya, ini kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang bergantung sepenuhnya kepada sektor ini sebagai sumber rezeki."Amat mengelirukan dan tidak konsisten apabila perkhidmatan teksi dilarang daripada menjalankan tawar-menawar tambang, sedangkan perkhidmatan e-hailing pula dibenarkan walaupun Menteri Pengangkutan sendiri menyatakan bahawa kementerian tidak pernah membenarkan sistem tambang 'bidding' beroperasi di Malaysia."Justeru, MOT dan APAD seharusnya menggubal dasar yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh kepada keseluruhan ekosistem industri gig sektor e-hailing, merangkumi pengguna, pemandu serta syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO), tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya pada Rabu.Sebelum ini, APAD dalam kenyataan memaklumkan kerajaan tidak mengawal selia dasar tambang bagi perkhidmatan e-hailing dan penetapan kadar tambang ditentukan konsep permintaan dan penawaran.Katanya, perkhidmatan e-hailing adalah satu perkhidmatan gig ekonomi yang bersifat pasaran terbuka dan operasi syarikat adalah berbeza-beza.Tambah PPIM, isu penurunan kadar tambang kini menjadi semakin kritikal dan tidak terkawal.Jelasnya, ia berlaku sejak pelaksanaan sistem tambang 'bidding' di Malaysia, sehingga menekan pendapatan pemandu serta menjejaskan kelestarian industri dalam jangka panjang."PPIM menegaskan bahawa syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seharusnya bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa."Selain itu, sehingga ke hari ini, kerajaan dilihat masih gagal menyelesaikan isu-isu utama yang membebankan pemandu, termasuk kenaikan kos insurans e-hailing serta kegagalan menangani isu kuota Budi Madani Ron95 (BUDI95) secara menyeluruh dan berkesan," jelasnya.Sehubungan itu, PPIM menggesa MOT dan APAD agar segera mengambil tindakan tegas dan konkrit tanpa sebarang alasan bagi memastikan kebajikan pemandu ehailing terus terbela serta industri gig sektor e-hailing kekal relevan, mampan dan adil di Malaysia.