SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempertahankan kenyataannya berhubung hak kepimpinan sayap itu untuk menyuarakan pandangan dan menentukan hala tuju parti.Menerusi hantaran terbaharu di media sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut membidas kenyataan Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang mengkritik tindakannya sebelum ini.Menurut Dr Muhamad Akmal, beliau mempersoalkan sama ada hala tuju parti merupakan ‘hak mutlak’ presiden, termasuk dalam soal kebebasan menyuarakan pandangan."Adakah hala tuju parti adalah 'hak mutlak' presiden parti? Adakah menyuarakan pandangan juga dianggap 'hak mutlak' presiden?"Lakukan mengikut struktur dan proses dalaman? Berdasarkan apa? Kapasiti kepentingan individu?"Saya dan ramai lagi yang menyertai politik serta UMNO bukan untuk mengikut telunjuk semata-mata, menjadi ‘yes boss’ atau demi kepentingan diri, sebaliknya berjuang atas dasar agama, rakyat dan negara," katanya dalam hantaran berkenaan pada Rabu.Terdahulu, Nurulhidayah memberi respons susulan desakan Dr Muhamad Akmal agar UMNO menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan dan mahukan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula.Mengakui kelantangan yang ditunjukkan Dr Muhamad Akmal itu wajar dengan mengambil kira kedudukan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO, Nurulhidayah bagaimanapun mengingatkan bahawa soal parti bukan milik pihak tertentu.Dr Muhamad Akmal pada Ahad dilapor mengumumkan Pemuda UMNO akan menganjurkan Konvensyen Khas pada Sabtu ini.Justeru, beliau mengajak kepimpinan sayap parti itu turut serta dan menentukan sama ada UMNO perlu kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan.Sementara itu, Nurulhidayah menerusi hantaran sama turut menegaskan, dalam organisasi besar seperti UMNO, hala tuju parti bukan ditentukan oleh satu sayap, apatah lagi melalui tekanan awam yang boleh ditafsir sebagai ugutan politik dalaman.